Nelson Ruki, 52, bekas peguam di sebuah firma guaman di bahagian ini didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang tunai dalam urusan jual beli rumah oleh kliennya yang perlu dibayar kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Pegawai Pendakwa Inspektor N. Sivanesvaran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah memberitahu, siasatan mendapati wang itu telah digunakan untuk kegunaan peribadi.

“Tertuduh melakukan pecah amanah itu di pejabat peguam Nelson Ruki & Partners di Lot 2107, Bangunan Lim Yang, Sungai Bangkita, Limbang.

“Hakim Mohd. Hafizi Abdul Halim sebentar tadi membenarkan jaminan mahkamah sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin tempatan,” jelasnya.

Beliau berkata, tertuduh juga perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes sekali dalam setiap dua minggu.

“Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Mei depan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE