Selain itu juga dibebaskan seorang wanita iaitu Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat swasta yang juga direman empat hari bagi membantu siasatan berkaitan kes sama.

Majistret Atikah Abu Hassan membebaskan mereka dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan masing-masing dikenakan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Pada Selasa lalu, SPRM menahan bekas pengerusi agensi kerajaan berusia 64 tahun itu kira-kira jam 5.50 petang dan ketua pegawai eksekutif wanita berusia 32 tahun itu kira-kira jam 5.20 petang di ibu pejabat SPRM di sini selepas mereka hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, bekas pegawai agensi kerajaan tersebut disyaki menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai pengerusi dalam mencadangkan sebuah syarikat secara lantikan terus.

Katanya lagi, ia dilakukan dalam projek Kempen Pengiklanan Digital bagi Pasaran China bagi tempoh 2018-2020 yang dianggarkan berjumlah lebih RM99 juta yang menggunakan peruntukan agensi kerajaan tersebut.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam. - UTUSAN ONLINE