Nada Aimi A. Rahman, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja kesemua pertuduhan terhadapnya itu dibacakan oleh jurubahasa di dua mahkamah berasingan.

Bagi pertuduhan pertama hingga enam yang dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail, wanita itu didakwa dengan curang telah melakukan pecah amanah sebanyak RM290,219.50 untuk kegunaan sendiri di bangunan MPHTJ, Kompleks Melaka Mall di sini antara tahun 2015 sehingga 2018.

Sementara itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, tertuduh didakwa mengikut pertuduhan ketujuh hingga sembilan melakukan kesalahan sama membabitkan nilai RM36,520 di tempat, tarikh dan masa yang sama, menjadikan nilai keseluruhan pecah amanah sebanyak RM327,844.50.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Nada Aimi didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd. Yunos dan Lee Wai Yi manakala tertuduh tidak diwakili peguam dibebaskan dengan jaminan RM30,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 22 April depan. - UTUSAN ONLINE