Tertuduh, Ram Kipriwi, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Sandy Yvette Freddy.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa kerana menipu seorang lelaki dalam urusan permohonan hak milik tanah di Sungai Lumut, Kampung Sungai Lumut di sini pada Disember 2015.

Selepas berbincang, suspek bersetuju untuk menyelesaikan urusan pemilikan tanah itu dalam tempoh enam bulan dan meminta bayaran yang perlu dibayar kepada JTS negeri untuk kerja-kerja sampingan berkaitan permohonan tersebut.

Dia turut memberi jaminan bahawa bayaran akan dibayar balik JTS selepas urusan hak milik tanah selesai.

Mangsa yang percaya kemudiannya menyerahkan bayaran berkaitan melalui isterinya kepada suspek untuk dibayar kepada JTS dan meminta resit sebagai bukti pembayaran sudah dibuat.

Mangsa yang sudah membayar RM35,000 kemudiannya meminta resit pembayaran namun suspek langsung tidak memberi maklum balas malah bertindak menukar nombor telefon pada September 2016.

Suspek kemudiannya menyerahkan tiga naskah permohonan surat hak milik pada 30 Disember 2016 kepada mangsa sebelum mereka ke JTS di Jalan Badarudin di sini pada 9 Januari 2017 lalu untuk menyerahkan permohonan tersebut.

Namun, permohonan itu ditolak kerana tidak lengkap. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd. Azmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Jun 2018. - UTUSAN ONLINE