Zakaria bagaimanapun me­ngaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai Naib Canselor UPSI merangkap Pengerusi Mesyuarat Pengurusan Eksekutif Bil. 24/2014 ketika itu didakwa telah menggunakan kuasa meluluskan lantikan terhadap anaknya, Mohd. Fauzi untuk dilantik ke lantikan kontrak Jurutera (Awam) Gred J41.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik BC 2-7, Bangunan Canselori, UPSI Tanjung Malim antara pukul 9 pagi dan 12 te­ngah hari, 8 Oktober 2014.

Tertuduh turut didakwa menggunakan kuasa melulus lantikan terhadap menantunya, Siti Noor­aishah Mansor sebagai calon simpanan dua bagi jawatan Juruteknik FT17 secara kontrak pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum meng­ikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, meng­ikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah tersebut dikurangkan atas alasan dia merupakan pesara yang menanggung seorang isteri tidak bekerja serta dua anak yang masih belajar selain masih perlu membiayai pinjaman perumahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin ahli keluarga terdekat bagi kesemua pertuduhan selain menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan kes serta lantikan peguam.