Tertuduh, Shahidan Ladin, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan pertama, Shahidan ketika menjadi Komander UPP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Kayu Hitam didakwa secara rasuah menerima RM1,500 daripada Salleh @ Md. Zamri Md. Saman pada kira-kira pukul 1.52 petang, 24 September 2014 di sebuah tapak gudang haram di Kampung Remia Manis, Durian Burung, Kuala Nerang.

Pesara itu didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang berikutan aktiviti haram penjualan dan penyeludupan minyak petrol serta diesel dari sempadan Malaysia ke Thailand oleh Salleh @ Md. Zamri.

Bagi pertuduhan kedua, datuk kepada tujuh cucu itu didakwa menerima suapan sebanyak RM1,500 daripada Salleh @ Md. Zamri bagi tujuan sama di lokasi sama pada kira-kira pukul 11.52 pagi, 23 Oktober 2014.

Mengikut pertuduhan ketiga, pada kira-kira pukul 1.05 petang, 28 November di pekarangan tempat letak kereta Hospital Kuala Nerang, Kuala Nerang didakwa menerima suapan RM1,500 daripada penyeludup berkenaan bagi tujuan sama.

Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula.-UTUSAN ONLINE