Hakim Azman Abu Hassan memerintahkan hukuman penjara enam bulan yang dijatuhkan terhadap tertuduh, Sukri Mat, 49, bagi setiap pertuduhan berjalan secara serentak bermula hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh meminta suapan sebanyak RM20,000 daripada Badlishah Hamid, 47, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kira-kira pukul 11.04 pagi, 21 September 2015.

Suapan tersebut adalah sebagai upah kepada tertuduh kerana telah memberikan anggaran sebut harga bagi kerja-kerja pengalihan kabel jenis tembaga dan fiber optik serta kerja  berkaitan kepada Badlishah selain sebagai dorongan untuk memperakukan kerja disiapkan dengan sempurna dan memuaskan.

Bagi kesalahan meminta suapan itu, Sukri dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM100,000, jika tidak bayar enam bulan penjara.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM10,000 daripada individu sama di Restoran Nasi Kandar Imran di sini kira-kira pukul 2.50 petang pada hari sama dengan dorongan serupa.

Sukri bagi kesalahan itu dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM50,000, tidak bayar enam bulan penjara.-UTUSAN ONLINE