Natasya Mohd. Zahid, 31, yang bertugas sebagai penaksir pajak gadai mengaku tidak bersalah selepas kesemua tuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.

Wanita yang memakai jubah serta tudung berwarna hitam ketika hadir di mahkamah itu berhadapan 16 pertuduhan dibawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan 15 pendakwaan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Malah menurut kertas pertuduhan dia melakukan modus operandi yang sama bagi pendakwaan di bawah Akta SPRM dan Kanun Keseksaan tersebut. 

Bagi dakwaan di bawah akta SPRM, tertuduh dikatakan telah memperdaya Ketua Kedai Ar-Rahnu Exchange di sini dengan memalsukan dokumen, baucer bayaran Ar-Rahnu apabila meletakkan nama yang individu lain walhal barang kemas tersebut bukan milik penama terbabit. 

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut sebanyak 16 kali melibatkan kos sebanyak RM204,410 di antara Mei sehingga Ogos 2016 di premis itu. 

Jika sabit kesalahan di bawah akta tersebut dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000, mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi. 

Sementara itu, bagi pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan, Natasya didakwa menyalah gunakan harta iaitu dengan menggadaikan semula barang kemas milik pelanggannya di atas nama orang lain. 

Wanita itu didakwa mengulangi kesalahan itu sebanyak 15 kali dengan nilai sebanyak RM290,144 di antara September sehingga Oktober 2016 di premis yang sama 

Di bawah seksyen ini, tertuduh boleh dihukum penjara tidak daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda. 

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM negeri, Shahidah Muslimah manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Mohd. Hakimi Abd. Kadir. 

Difahamkan tertuduh menggunakan enam nama individu untuk melakukan perbuatan itu. - UTUSAN ONLINE