Nor Badli Munawir
Nor Badli Munawir

Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti, 51, mohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan kepadanya di hadapan Hakim Madihah Hairullah.

Mengikut kesemua pertuduhan, Nor Badli Munawir selaku CEO syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas itu telah melakukan pecah amanah terhadap lima keping cek masing-ma­sing bernilai RM400,000, RM570,000, RM430,000, RM600,000 serta RM575,800 yang keseluruhannya berjumlah RM2.58 juta.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pejabat THHE Fabricators Sdn. Bhd., Tingkat 23, Tower B, Menara UOA Bangsar, Jalan Bandar Utama 1, di sini antara April dan Oktober 2013.

Tertuduh yang kini menjawat jawatan pengarah di syarikat swasta dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), S. Thangavelu yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM2.5 juta bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam, Kitson Foong yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM200,000 dengan alasan anak guamnya yang mempunyai enam anak itu memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan pihak SPRM.

Madihah kemudian membenarkan Nor Badli Munawir di­ikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu pasportnya perlu dise­rahkan kepada mahkamah sebelum menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada 15 November tahun lalu, tertuduh telah direman selama tujuh hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes tersebut.