Tertuduh, Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Asmadi Hussin.

Mengikut pertuduhan, Nor Badli didakwa telah melibatkan diri dalam penggubahan wang haram dengan menerima wang tunai hasil aktiviti haram berjumlah RM400,000, RM570,000 dan RM600,000 daripada Pengarah Syarikat Bicara Sepakat Sdn. Bhd., Murhasmee Mukhtar.

Kesalahan itu dilakukannya di restoran Old Town White Coffee, Ara Damansara di Petaling Jaya antara pukul 6 hingga 8 malam pada 2 Mei 2103, 26 Jun 2013 dan 11 September 2013. 

Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM5 juta atau kedua-duanya sekali.

Asmadi membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tanpa cagaran dan penjamin selain membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - UTUSAN ONLINE