Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman menetapkan kedua-dua individu berkenaan dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC itu ditahan reman bermula 1 Ogos lalu berhubung siasatan pembelian hotel mewah oleh FIC di London manakala bekas pegawai khas itu ditahan pada tarikh sama berkaitan siasatan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Terdahulu, kedua-duanya tiba di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC itu kelihatan hadir berkerusi roda kerana difahamkan mengalami masalah sakit tulang belakang.

Sementara itu, mahkamah sama turut membenarkan permohonan SPRM bagi menahan reman seorang peguam dilanjutkan selama empat hari sehingga 12 Ogos ini bagi membantu siasatan kes pembelian sebuah hotel mewah oleh FIC di London.

Pembantu wanita bagi peguam berkenaan pula dibenarkan bebas daripada tahanan reman dengan jaminan SPRM.

Pada 4 Ogos lalu, peguam dan pembantu wanita ber­kenaan yang masing-masing berusia 44 tahun dan 29 tahun direman selama lima hari kerana disyaki terlibat menguruskan proses dokumentasi perjanjian jual beli di antara pemilik asal dan syarikat ketiga sebelum dijual kepada FIC.

SPRM menyiasat pembelian hotel oleh FIC di London dan di Kuching berikutan harganya yang jauh lebih tinggi daripada harga asal mengakibatkan kerugian besar kepada syarikat berkenaan.

Sepanjang siasatan kes ber­kenaan, SPRM telah menahan lima individu bagi membantu siasatan pembelian hotel di London dan empat individu berhubung pembelian hotel di Kuching.