Ahli kumpulan yang pernah popular dengan lagu Generasi 2000 dan Show Me The Way, Mohd. Yusri Mohamed, 38, serta rakannya, Mohamad Razman Saini Anuar, 24, hanya mengang­guk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mereka didakwa membunuh Lim Kok Boon, 33, dengan memukul menggunakan topi keledar di tempat pembuangan sampah di Tingkat 14, Blok B, Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini kira-kira pukul 10.10 malam, 22 September lalu.

Mohd. Yusri dan Mohamad Razman Saini yang tidak diwaki­li peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati mandatori.

Mahkamah menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin kerana kes itu melibatkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shafiq Mohd. Sazalli.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kedua-dua tertuduh yang sedang membungkus dadah di Flat Kampung Melayu telah memukul Kok Boon menggunakan topi keledar selepas terkejut dengan tindakan mangsa yang menegur mereka kerana disangkakan anggota polis.

Selepas kejadian itu, Kok Boon yang tinggal di Lengkok Angsana Ivoti, Bandar Baru disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 10 pagi, 25 September lalu dipercayai akibat hentakan kuat di bahagian kepalanya.

Selepas memburu kedua-dua lelaki itu, polis berjaya menahan Mohamad Razman Saini yang bersembunyi di rumah sewanya di Kampung Pinang pada 26 September lalu manakala Uchee ditahan di Batu 9, Cheras, Kuala Lumpur tiga hari kemudian.