Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, Noor Ehsanuddin sebagai penjawat awam yang bertugas di Felda telah menerima suatu benda berharga iaitu deposit tunai berjumlah RM50,000 melalui akaun Maybank miliknya daripada Karya Hidayah Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad Cawangan Kluang, 30-34, Jalan Dato’ Haji Hassan di dalam daerah Kluang pada 6 september 2013.

Bagi pertuduhan kedua pula, Noor Ehsanuddin didakwa menerima satu benda berharga iaitu sebidang tanah berkeluasan 0.1421 hektar bernilai RM180,000 di Lot 5876, Mukim Kota Tinggi daripada Karya Hidayah Sdn. Bhd.

Dia didakwa melalukan perbuatan itu di Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi, Bangunan Sultan Iskandar, Aras 1, Jalan Lombong di dalam daerah Kota Tinggi pada 23 Mac 2014.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan sebutan semula kes pada 27 Mac depan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Thrichelvam dan Vincent Lawrence. - UTUSAN ONLINE