Peguam K. Murali yang mewakili Bee Yin memaklumkan pemberita, pihak-pihak yang terlibat dalam kes masih lagi berunding dan jika penyelesaian gagal, perbicaraan akan didengar selama dua hari bermula 20 September ini.

Tarikh itu ditetapkan ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad di kamar hakim di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bakri, Johor itu memfailkan saman itu pada 14 Jun tahun lalu bagi menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia yang dinamakan sebagai pihak defendan.

Menurut penyataan tuntutan, Bee Yin selaku pihak plaintif mendakwa pihak defendan telah mengeluarkan pernyataan berbaur fitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan tersebut telah disiarkan oleh beberapa akhbar dan portal berita serta diterbitkan dalamlaman sosial Facebook milik Jamal.

Kenyataan itu antara lain memberikan gambaran Bee Yin telah menyalah guna dana awam untuk kegunaan peribadi dan merupakan seseorang yang tidak mempunyai etika serta tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, plaintif memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya mengulangi pernyataan tersebut dalam apa jua cara. - UTUSAN ONLINE