Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, firma tersebut tidak sepatutnya mengulas kes tersebut kepada media, sebaliknya membawa lelaki tersebut ke sini untuk membantu siasatan.

“Bawa dia (Stadlen) ke sini jumpa SPRM. Itu yang patut dilakukan firma tersebut dan bukannya mengulas kes Stadlen kepada media,” katanya ketika mengulas mengenai kenyataan media dibuat peguam Stadlen, Kevin Gold pada Khamis lalu, hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, Gold mendakwa Stadlen “terperangkap dalam tindak balas politik terhadap Najib”, susulan pendakwaan ‘in absentia’ serta pengeluaran waran tangkap terhadap Stadlen berhubung tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Pada November lalu, SPRM mengesahkan Stadlen,39, disyaki terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, Stadlen dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut. - UTUSAN ONLINE