Tertuduh, Mohdror Razzuan Radzali, 26, yang juga bapa tiri mangsa dan Julia Jaafar, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Johari Hassan.

Mengikut pertuduhan, kedua-kedua tertuduh didakwa mendera mangsa dengan memukul remaja tersebut di bahagian kepala, muka dan tangan selain merantai tangannya sehingga menyebabkan kecederaan di kediaman mereka di Kampung Tengah, Kuala Perlis, antara pukul 6 petang sehingga pukul 12.30 tengah malam, 6 Februari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amril Johari, manakala kedua tertuduh diwakili peguam bela, Zuhair Ahmad Zakuan.

Mahkamah menetapkan untuk sebutan semula kes pada 23 Mac depan. -  UTUSAN ONLINE