Majistret Mahyudin Mohamad Som menjatuhkan hukuman itu selepas Zainal Abidin Saleh, 55, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap Amelyna Bahri, 23, di Hotel Corus, Jalan Ampang, Dang Wangi di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 27 Mei 2013.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tersebut berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap semalam.

Lelaki itu yang bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di hotel berkenaan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda serta sebat.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung dan menjaga tiga orang anaknya berusia antara 10 dan 12 tahun selepas bercerai dengan isteri.

“Saya benar-benar menyesal dengan perbuatan tersebut. Saya tidak tahu apa nasib yang akan jadi kepada anak-anak saya nanti. Mereka kini tinggal sementara bersama ibu angkat,” kata Zainal Abidin.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang awam.