Mark Sia Eng Joo, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Majistret Rahni Kartini Abd. Rahim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap anak lelakinya yang berusia 10 tahun dengan cara menampar pipinya di rumah mereka di Idamansara, Brickfields di sini pada pukul 3.40 petang, 13 Mei lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM9,000 bagaimanapun Eng Joo yang diwakili peguam K. Komagen memohon jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan dia menyara keluarga.

Mahkamah membenarkan orang kena saman itu diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu lapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan serta dilarang mengganggu mangsa selain sebutan kes ditetapkan pada 10 Ogos ini. -UTUSAN ONLINE