Hakim Azmil Muntapha Abas menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Muhammad Irwan yang merupakan duda diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkapan pada 3 Oktober lalu.

“Jika mesin basuh itu berpusing, apa akan jadi kepada kanak-kanak itu kerana peralatan berkenaan digunakan untuk membasuh baju, bukan permainan,” kata Azmil Muntapha.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh memohon maaf kepada kakaknya yang merupakan ibu kepada kanak-kanak lelaki itu atas kesalahan yang dilakukannya.

Muhammad Irwan didakwa memasukkan anak saudaranya yang berusia tiga tahun ke dalam mesin basuh secara tergopoh-gopoh sehingga membahayakan keselamatan mangsa di dalam kedai dobi Laundrybar, No. 11 &11-1, Jalan Orkid 1G/2, Seksyen BS1, Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada pukul 12.30 tengah malam, 2 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya. - BERNAMA