Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar memutuskan demikian terhadap Wira Doni Riduan, 33, pada akhir kes pembelaan selepas meneliti keterangan tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan pada perbicaraan yang bermula 20 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa merompak menggunakan parang terhadap Sim Hock Beng, 39, menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai RM1,000 dan seunit telefon bimbit jenis Samsung bernilai RM150 di sebuah pusat siber di Pelangi Damansara, dekat sini, kira-kira pukul 1 pagi, 4 April lalu.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, V. Suloshani mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Ketika mengemukakan rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon agar dikenakan hukuman ringan serta tidak disebat kerana dia mempunyai seorang anak yang masih kecil dan turut menjaga ibunya yang sedang sakit.

Pendakwaan bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh memandangkan lelaki terbabit melakukan kesalahan itu dengan menggunakan senjata.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 4 April lalu.