Razak memutuskan demikian terhadap Redhuan Mahiddin, 52, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari perbicaraan kes hari ini.

“Perbuatan yang dilakukan kamu ini merupakan kesalahan serius kerana memberi kemudahan penginapan kepada kumpulan geng terancang. Mahkamah ingin mengingatkan kamu agar tidak mengulangi kesilapan sama, selidik dahulu sebelum memberikan bantuan dikhuatiri bantuan yang diberikan itu me­nyalahi undang-undang,” katanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang merupakan pemilik agensi pelancongan itu menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 16 September 2016.

Mengikut pertuduhan, Re­dhuan didakwa telah membantu ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Latino Dago’ bagi mencapai kepentingan kumpulan jenayah itu dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pertengahan 2015 dan 8 Oktober 2016.

Pertuduhan dikemukakan me­­ngi­kut Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd. Noor memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

“Saya memohon hukuman yang memberi pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesilapan sama selain mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh ini selepas 16 orang saksi memberi keterangan,” katanya yang memaklumkan perbicaraan telah bermula pada 11 Oktober 2017.

Peguam, Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Redhuan memohon hukuman ringan dengan mengambil kira anak bongsu tertuduh menghidap penyakit Talasemia yang memerlukan rawatan dan akan menjalani pembedahan pemindahan tulang sum-sum.

Berdasarkan keterangan kes, pada 12 Oktober 2016, tertuduh mengaku, dia telah menerima arahan daripada adiknya yang bernama Abdul Rahman untuk menempah sebuah bilik di hotel di ibu negara memandangkan tertuduh merupakan seorang ahli kelab hotel tersebut dan boleh mendapat harga yang murah untuk penempahan bilik.