Berita gembira itu disambut dengan penuh kesyukuran selepas Mahkamah Kanak-Kanak di sini memutuskan perintah jagaan sementara kanak-kanak itu diberikan kepada bapa kandungnya untuk tempoh sebulan berkuat kuasa hari ini.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman memutuskan demikian ketika prosiding kes itu yang turut dihadiri kanak-kanak tersebut bersama-sama bapa kan­dung, ibu tiri dan abang sulung mangsa di kamar hakim di sini.

Permohonan dikemukakan Pe­­gawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zalina Yusof.

Sementara itu, Penolong Pe­ngarah (Bahagian Kanak-Kanak) JKM negeri, Azmi Ibrahim berkata, dalam tempoh sebulan itu pihaknya akan membuat siasatan menyeluruh bagi mendapatkan hak penjagaan kekal mangsa dan adik beradiknya yang lain.

“Banyak faktor yang JKM akan ambil kira dalam siasatan untuk memastikan nasib kanak-kanak ini terbela.

“Siasatan lebih tertumpu kepada mangsa dan turut mengambil kira adik beradik lain iaitu dua abang mangsa yang berusia 16 dan 13 tahun,” katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah di sini.

Tambahnya, ibu kandung mang­sa turut memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan dan bersedia jika diberi peluang untuk menjaga anaknya.

“Dia tidak menyuarakan secara terperinci tetapi hasrat (untuk menjaga) itu ada. Semua aspek kita akan ambil kira,” ujarnya.

Sementara itu, bapa kandung kepada seorang kanak-kanak yang dirantai pada sebuah tong gas sehingga pengsan oleh bapa tirinya, Khamis lalu menarik nafas lega apabila mahkamah hari ini memberikan hak penjagaan sementara terhadap budak itu kepadanya.

Lelaki berusia 36 tahun itu yang enggan dikenali berkata, keputusan tersebut sangat dinantikan selepas melihat sendiri keadaan anaknya yang berusia 10 tahun itu yang ditemukan pihak polis dalam keadaan sedemikian.

“Syukur, Alhamdulillah. Saya bersedia jaga anak-anak kerana sebelum ini dua daripada tiga anak dengan bekas isteri tinggal bersama saya di Melaka,” katanya.