Hakim Zaman Mohd. Noor menjatuhkan hukuman tersebut terhadap penganggur berusia 33 tahun itu selepas dia mengaku bersalah melakukan semua perbuatan tersebut di sebuah rumah di Jalan Datuk Keramat, di sini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja melakukan pengabaian ke atas kecederaan melecur tahap dua yang dialami dua anak lelakinya berusia lapan tahun enam bulan dan tujuh tahun lima bulan pada pukul 8 malam, 1 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa dengan sengaja tidak mendaftarkan kelahiran kedua-dua anaknya itu antara Mei dan Jun 2009 mengikut Seksyen 35 Akta Kematian dan Kelahiran 1957 yang membawa hukuman denda maksimum RM250.

Terdahulu, peguam Shakir Hussain yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang lembam tidak sengaja melakukan perbuatan tersebut dan beranggapan luka lecur itu akan pulih dengan hanya menyapu minyak gamat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal memohon hukuman wajar dan setimpal dengan alasan tertuduh seharusnya lebih bertanggungjawab atas kesihatan dan keselamatan anak-anaknya serta tidak mengambil mudah perkara tersebut.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan pengabaian ke atas kecederaan manakala masing-masing denda RM250 bagi pertuduhan tidak mendaftar kelahiran.

Bagaimanapun tertuduh tidak perlu menjalani hukuman penjara berkenaan ekoran mahkamah memerintahkan hukuman tersebut berkuat kuasa serentak bermula dari tarikh dia direman iaitu 11 Disember tahun lalu.

Tertuduh juga berdepan hukum penjara tambahan tiga bulan sekiranya gagal membayar semua denda berkenaan. Tertuduh bagaimanapun membayar denda itu.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan jiran tertuduh telah pergi ke rumah lelaki itu untuk menghantar makanan, bagaimanapun setibanya di sana, salah seorang kanak-kanak terbabit sedang menangis.

Pengadu kemudian menghubungi polis selepas kanak-kanak itu enggan membuka pintu dan hasil siasatan mendapati terdapat kesan lecur tahap dua di bahagian badan mereka.