Semalam, lelaki berusia 36 tahun itu (namanya dirahsiakan oleh mahkamah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak atas 150 tuduhan meliwat anak perempuan sulungnya itu menjadikan kesemuanya berjumlah 594 tuduhan bagi kesalahan itu sahaja.

Hakim Yong Zarida Sazali me­larang tertuduh dibebaskan de­ngan jaminan serta menetapkan kes itu disebut pada 18 September ini bagi membolehkan laporan perubatan dan laporan kimia disediakan.

Ketika didakwa semalam, bapa kepada tiga anak perem­puan itu turut menghadapi satu tuduhan merogol, satu tuduhan penganiayaan seks dan 30 tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 626 tuduhan.

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika dihubungi mengesahkan, tertuduh merupakan individu pertama di negara ini yang didakwa atas beratus-ratus pertuduhan melibatkan jenayah serangan seksual yang dilakukan secara berulang-ulang.

Kejadian didakwa berlaku di antara bulan Januari dan Julai tahun ini sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam di rumah mereka di Sungai Way, Petaling Jaya dekat sini.

Menurut pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa, ­S. Umma, tertuduh didakwa meliwat anak kandungnya setiap hari sepanjang bulan Januari, Februari, Mac, April dan Jun (termasuk ketika sambutan hari raya pada 25 Jun lalu).

Pada bulan Mei, dia didakwa meliwat mangsa setiap hari kecuali dua hari sebelum bulan Ramadan (25 dan 26 Mei) dan pada hari pertama menunaikan ibadah puasa (27 Mei).

Lelaki berkenaan turut dituduh melakukan perbuatan itu setiap hari bermula 1 Julai hingga 20 Julai lalu sebelum laporan polis dibuat oleh bekas isteri tertuduh pada 25 Julai lalu.

Prosiding pendakwaan bermula pada pukul 9.15 pagi dan ditangguhkan sebentar seba­nyak dua kali bagi membolehkan kertas pertuduhan dikemukakan dengan lancar sebelum berakhir kira-kira pukul 11.55 pagi.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin memohon agar tertuduh tidak dibebaskan dengan jaminan kerana pertuduhan yang dihadapinya adalah dilarang jamin dan jika dibenarkan, tertuduh dikhuatiri akan melarikan diri dan tidak hadir pada perbicaraan selain mengganggu saksi-saksi pendakwaan termasuk mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar dibebaskan dengan jaminan yang rendah.

Dia yang menyatakan penga­kuan tidak bersalah dari kandang tertuduh dalam keadaan bergari, kelihatan tenang sepanjang pro­siding itu.

Akhbar melaporkan, dia di­dak­wa melakukan perbuatan terkutuk itu selepas mangsa yang kini berusia 15 tahun tinggal bersamanya ekoran perceraian de­ngan isteri.

Dia ditahan polis selepas mang­sa dipercayai mendedahkan nasib malang menimpanya kepada ibu kandung setelah mengetahui bapanya itu berhasrat mengambil dua adiknya berusia sembilan dan 11 tahun (yang ketika itu tinggal dengan ibunya) untuk tinggal bersama mereka.