Lelaki terbabit yang berusia 36 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai hak pemeliharaan ke atas anak tiri perempuannya berusia 6 tahun telah mengabaikan dan mendedahkan kanak-kanak terbabit dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

Difahamkan, tertuduh mencucuh rokok ke tubuh anak tirinya itu, namun dia mendakwa luka itu hanyalah kesan kudis.

Pemeriksaan doktor bagaimanapun mendapati luka itu bukan kudis dan dipercayai mempunyai kaitan dengan penderaan.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 8.30 pagi di Kampung Ulu Sungai antara Januari 2018 hingga 15 Januari 2019.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam membantah sebarang jaminan kepada tertuduh atas faktor keselamatan mangsa yang mempunyai pertalian dengan tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak merayu dan hanya mendiamkan diri.

Ahmad Sazali kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh 25 Februari depan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE