Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bapa dera anak dipenjara 10 tahun

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Tidak terlintas pada pemikiran yang waras mengapa seorang bapa sanggup mendera anak kan­dungnya sendiri yang baru berusia lima tahun sembilan bulan sehingga patah paha kiri.

TAN KENG THONG

Namun kejadian empat bulan lalu itu akhirnya menjerat nasib penjual nasi ayam, Tan Keng Thong, 27, apabila dia hari ini dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan penderaan terhadap anak lelakinya itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Noradura Hamzah berkata, sebagai bapa tertuduh telah gagal menjalankan tanggungjawab kerana sepatutnya dia perlu memastikan kesejahteraan anak itu dan bukannya mendera kanak-kanak tersebut.

Beliau memerintahkan hukuman tersebut berkuat kuasa hari ini.

Keng Thong, 27, didakwa de­ngan sengaja mendera anak lelaki­nya sehingga menyebabkan patah paha kiri dan kesan lebam di bahagian lengan dan badan mangsa di sebuah rumah di Jalan Burung Enggang, Taman Bukit Maluri, di sini antara pukul 9 malam dan 9.30 malam, 13 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Farith Muhd. Faizal sebelum itu memohon hukuman penjara terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor kecederaan yang dialami mangsa termasuk emosi dan perasaan kanak-kanak tersebut.

“Mangsa adalah anak kan­dung tertuduh dan kesalahan yang dilakukan sangat serius malah kanak-kanak itu kini di bawah ja­gaan sementara datuknya,” katanya.

Keng Thong yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman ringan kerana perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan menjaga ibu yang sudah uzur dengan pendapatan dalam lingkungan RM3,000 ke RM4,000 sebulan sebagai penjual nasi ayam.

“Saya sangat sedih bila melihat badan anak saya lebam dan ce­dera teruk. Saya menyesal dan berjanji dengan mahkamah bahawa saya tidak akan melakukan perbuatan ini lagi,” katanya sambil mengesat air mata dengan kolar baju.

Berdasarkan fakta kes, penga­du yang juga seorang doktor di Hospital Selayang membuat laporan polis selepas melakukan pemeriksaan ke atas mangsa dan mendapati paha kirinya patah manakala terdapat kesan lebam, bengkak dan luka di muka dan tangan mangsa.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain