Hari ini, bapa kepada bayi itu, Mohd. Amri Ismail, 29, menerima pembalasannya apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan membunuh anak kandungnya sehingga menyebabkan kecederaan.

Hakim Zaman Mohd. Noor sebelum menjatuhkan hukuman telah bertanyakan kepada tertuduh sama ada dia sedar perbuatannya itu akan menyebabkan kematian anaknya dan Mohd. Amri menjawab, ‘sedar’.

Beliau yang memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh ditangkap, 5 November tahun lalu turut bertanyakan umur anaknya ketika itu dan Mohd. Amri menjawab empat bulan.

“Baru empat bulan tetapi kenapa kamu boleh campak anak begitu saja?” soal Zaman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba membunuh bayi tersebut dengan menyebabkan kecederaan iaitu pendarahan dalam otak akibat dicampak ke atas tilam di atas lantai di bilik sewanya, No. 28 Tingkat 2, Jalan Lorong Haji Taib 1, Chow Kit di sini, kira-kira pukul 7.30 petang, 4 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mohd. Amri yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan menyesal atas perbuatannya manakala Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal memohon hukuman sewajarnya mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius kerana mangsa seorang bayi dan perbuatan tertuduh boleh mengakibatkan kematian.

“Kanak-kanak perlu dilindungi kerana banyak kes penderaan dan pengabaian berlaku. Masyarakat tidak boleh ambil sambil lewa perkara ini dan sebagai bapa kan­dung perlulah menjaga kebajikan anak,” katanya.

Mengikut fakta kes, kira-kira pukul 8.50 malam, 4 November lalu, pengadu, Dr. Grace Lim Wan Chen yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah mene­rima pesakit bayi lelaki berusia empat bulan yang dibawa oleh ibu angkatnya, Norhazlinda dan memaklumkan bahawa anaknya jatuh.

Doktor itu telah memeriksa dan menjalankan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan), lalu mendapati terdapat pendarahan pada otak dan bayi itu berada dalam keadaan koma.

Doktor itu kemudiannya membuat laporan polis kerana mengesyaki bayi tersebut didera.

Hasil siasatan mendapati, Mohd. Amri yang menjaga anak­nya sewaktu ketiadaan Norhazlinda, telah melakukan perbuatan tersebut walaupun telah dihalang oleh suami Norhazlinda namun dia tidak menghiraukannya.

Sejurus selepas Norhazlinda pulang ke rumah, Mohd. Amri telah menyuruhnya untuk membawa anaknya itu ke hospital. Laporan perubatan kemudiannya mengesahkan bayi tersebut mengalami pendarahan otak.