Siah Chee Ming, 43, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah merompak seorang juruwang dengan melarikan 34 kotak antaranya mengandungi rokok dan coklat bernilai lebih RM300 di sebuah kedai serbaneka setelah gagal membuka peti wang di kaunter pembayaran.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak warga Bangladesh, Md. Meraj Ahamed Khan, 24, dengan mengambil 16 kotak rokok dan 18 keping coklat bernilai RM335.30 di kedai 7-Eleven, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini kira-kira pukul 2.37 pagi, 31 Julai lalu.

Bapa dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat.

Mengikut fakta kes, Chee Ming didakwa telah memasuki ke kedai berkenaan lalu menghampiri kaunter pembayaran dan meminta Md. Meraj membuka peti wang sambil mengugut mangsa menggunakan sebilah pisau supaya membuka peti itu namun juruwang tersebut tidak mahu membukanya.

Tertuduh telah mencuba membukanya sendiri namun gagal sebelum bertindak mengambil barangan berkenaan dan melarikan diri. Chee Ming kemudian berjaya ditahan pihak polis pada 8 September lalu.

Terdahulu, Chee Ming yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dan berjalan serentak dengan hukuman yang sedang dijalani atas alasan tiada orang yang menanggung isteri dan dua anaknya masing-masing berusia enam dan sembilan tahun kerana isterinya hanya suri rumah yang telah muflis.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang selain demi kepentingan awam.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan tempoh dia di dalam penjara akan dilanjutkan empat bulan lagi sekiranya gagal membayar denda. - UTUSAN ONLINE