Hakim Dr. Gan Chee Keong menjatuhkan hukuman itu selepas Siah Chee Ming, 43, mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan rompakan bersenjata menggunakan sebilah pisau terhadap dua warga Bangladesh, Md. Aminul, 24, dan Yeasin Khan, 22, dengan mengambil 34 kotak rokok pelbagai jenama dan wang tunai sebanyak RM119.

Bapa dua anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di 7 Eleven Taman Kok Lian, Sentul di sini pada pukul 2.10 pagi, 12 Julai lalu dan pukul 3.15 pagi, 28 Julai lalu.

Chee Ming yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan serupa juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang penjaga kaunter warga Nepal, Rai Som Kumar, 28, dan mengambil wang tunai RM107 di 7 Eleven Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh di sini pada pukul 6.30 pagi, 31 Julai lalu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara berjalan serentak dengan alasan isterinya tidak bekerja dan mereka tiada tempat tinggal.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Yaacub memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh adalah pesalah tegar selain keseriusan kesalahan yang dilakukannya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum penjara empat tahun dan sebatan sekali bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan hukuman penjara berjalan secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 2 Ogos lalu. - UTUSAN ONLINE