Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman selepas pengurusan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Siti Zulaiha Mohamad Mansor.

Bantahan awal berkenaan, menurut Kamar Ainiah akan dikemukakan oleh isteri Jamaludin, Puan Sri Kalsom Ismail, 62, serta empat anak mereka, Ikhwan Hafiz, 31, Nur Anis, 33, Nurul Alyaa, 27, dan Noor Adila, 23, selaku pihak plaintif yang kesemuanya diwa­kili peguam-peguam syarie, Datuk Shamsuriah Sulaiman dan Zuri Zabuddin Budiman.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 15 Oktober ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Ujar Kamar Ainiah lagi, mahkamah juga telah membenarkan semua plaintif menjadi pencelah dalam permohonan berkenaan yang difailkan pada 2 Mac lalu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengikut Seksyen 46(ix) Akta Pentadbiran Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1993.

Permohonan faraid itu difailkan oleh anak guam Kamar Ainiah iaitu Aminah Abdullah, 84, bagi menentukan bahagian-bahagian kepada waris yang berhak dalam harta pusaka milik Allahyarham Jamaludin.

Antara harta yang perlu dimasukkan di dalam senarai untuk difaraid adalah lebih 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Mekah serta syarikat milik Jamaludin.

Aminah hadir pada prosi­ding hari ini yang dibuat di kamar hakim di sini.