Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Zaini Othman, 59, selaku orang kena saman (OKS) selepas mengaku bersalah atas tuduhan secara tidak wajar menakutkan seekor kucing berwarna hitam dengan membaling haiwan itu menggunakan kasut miliknya.

Kejadian berlaku di tingkat 1, Lif Lobi Intan Tower Maskiara Residence, Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr. Ismail di sini antara pukul 6.40 petang dan 6.43 petang, 20 September tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan) 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Sharif Sabran memohon hukuman berat dengan mengambil kira OKS telah melakukan perbuatan tidak wajar terhadap seekor kucing yang tidak mempunyai kebolehan untuk berkata-kata dan tidak mempunyai pemilik.

Zaini yang tidak diwakili peguam itu dalam nada tersekat-sekat menahan tangisan merayu tidak dikenakan hukuman penjara kerana mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan selain ini merupakan kesalahan pertamanya.

“Saya memohon hukuman ringan kerana berpendapatan rendah dan perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah selain berharap kasut yang diambil penguat kuasa veterinar dapat dipulangkan balik kepada saya,” katanya yang kelihatan sugul.

Mengikut fakta kes, seorang penghuni kondominium itu menerima satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kezaliman terhadap binatang iaitu yang menunjukkan OKS membaling kasutnya kepada kucing itu.

Dalam video itu jelas menunjukkan kucing tersebut dalam ketakutan apabila cuba melarikan diri daripada Zaini yang mengejarnya dan beberapa kali membaling kasut ke arah kucing tersebut lalu pengadu membuat laporan polis.

Lelaki itu dibebaskan setelah membayar denda tersebut. - UTUSAN ONLINE