Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir menjatuhkan hukuman itu selepas Yee Kok Chew, 57, selaku orang kena saman (OKS) menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa bertindak zalim dengan memukul, menyakiti dan mendera seekor anjing jantan baka Mongrel berwarna coklat putih sehingga mendatangkan kesakitan serta penderitaan tidak wajar terhadap haiwan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pondok keselamatan, Jalan BK6 E/4 (1), Taman Melody, Bandar Kinrara, Puchong di sini kira-kira pukul 8.49 malam, 2 April lalu.

OKS didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (Akta 647) (Semakan 2006) dan dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan 2013) (Akta A1452) yang boleh dihukum dibawah akta sama.

Akta itu memperuntukan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya. - UTUSAN ONLINE