Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh Mohd Helmi Mohamed, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda terbabit. Difahamkan, dia tidak membayar denda itu hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengugut mahu menetak ibunya, Asiah Yusoff, 59, dengan sabit di sebuah rumah di Kampung Cherang di sini pada pukul 5 petang, 14 April 2019.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh merayu hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya namun Timbalan Pendakwa Raya, Gayathri Sambath memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang baru bangun daripada tidur mendapati ayam goreng dimakannya masih mentah lalu mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mangsa.

Dia turut mengugut mahu menetak mangsa dengan sabit. - UTUSAN ONLINE