AHMAD AZHAR OTHMAN atau Awie tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH

Permohonan mengikut Seksyen 23 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 difailkan pada 3 Februari lalu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini dan salinan dokumen terbabit diperoleh media selepas sebutan kes itu hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar, Atrasina Mohd. Zahrullail.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, selaku pemohon ha­dir dengan diwakili peguam syarie, Sumaiyah Jamil manakala Rozana yang dinamakan sebagai responden tidak hadir selepas mendapat pengecualian pada prosiding terdahulu diwakili peguam syarie, Nora­zmi Mohd. Arif.

Menurut afidavitnya, Awie memfailkan permohonan pe­n­ge­­sahan nikah poli­gami berikutan sewaktu beliau menikahi adik kepada pelakon, Ha­liza Misbun pada 20 Jun 2005, beliau masih suami kepada penyanyi, Arni Nazira yang terke­nal dengan lagu Cinta Antara Benua.

Beliau turut menyatakan bahawa Rozana adalah isterinya yang sah.

Pelakon utama filem Sembilu itu bernikah dengan Arni pada 10 Disember 1998 dan disahkan bercerai oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 16 Oktober 2006. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan tersebut dikurniakan dua anak perempuan, Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14, yang kini di bawah jagaan Awie.


Video oleh SAHARUDDIN ABDULLAH

Menurut afidavit penyanyi kumpulan Wings itu, beliau bernikah dengan Rozana, 38, di Songkhla dengan mas kahwin RM360 dan disaksikan oleh dua saksi warga Thailand dan beberapa orang kenalannya.

Walaupun tidak membantah permohonan Awie, Rozana mela­lui afidavit jawapannya bertarikh 13 Mei lalu, menimbulkan isu perbezaan nama jurunikah yang dinyatakan oleh penyanyi tersebut dalam dokumen permohonannya dengan bukti sokongan iaitu Surat Pengesahan Ketulenan Sijil Nikah dari konsulat Jeneral Ma­laysia di Thailand.

Selesai sebutan kes tersebut, Norazmi memberitahu, kes akan disebut semula pada 6 September ini di hadapan timbalan pendaftar bagi membolehkan pihak pemohon melengkapkan afidavit berkaitan saksi, wali dan pegawai tadbir daerah yang terlibat dalam pernikahannya dengan Rozana.

Awie dan Rozana dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.