Awal atau nama penuhnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 37, berkata, dia dan isterinya telah memasuki kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi Bleu dan Maroon dengan pembekal tekstil, D’Haja pada 11 Oktober 2016 selama dua tahun sehingga 10 Oktober lalu.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes samannya terhadap D’Haja atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian pengedaran eksklusif produk itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Awal memberitahu, pihaknya mula berurusan dengan Rita Sosilawati dan syarikat milik usahawan kosmetik itu, Eree International Sdn. Bhd.

Menurutnya, Rita Sosilawati (Erni Dekritawati Yuliana Buhari ialah anak sulung jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya) kemudian mencadangkan kepadanya untuk melantik D’Haja sebagai pengedar eksklusif Bleu dan Maroon.

Awal dalam keterangannya juga menyifatkan adalah suatu perbuatan yang tidak masuk akal untuk D’Haja membuka stok yang ada bagi memastikan 3,215 botol minyak wangi keluarannya yang didakwa rosak.

Lagi pun menurut Awal, beliau tidak pernah memberi kebenaran kepada sesiapa pun untuk membuka semua produk tersebut.

“Saya dan isteri berkali-kali bertanya kepada D’Haja tentang progress (kemajuan) namun tidak dinyatakan tentang kerosakan. Ada pihak yang cuba menjatuhkan kami dengan dakwaan tersebut.

“20,000 unit suatu kuantiti yang sangat banyak. Lagi pun seorang lelaki bernama Abang Hadi ada beritahu yang dia sudah periksa dan spray minyak wangi, tiada kerosakan pada produk kami dan hanya mengetahui ‘kerosakan’ itu daripada pelanggan melalui laman sosial,” ujar Awal.

Dalam saman yang difailkan pada 30 April lalu, Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir plaintif pertama dan Awal plaintif kedua mendakwa, mereka telah memesan 20,000 botol minyak wangi daripada Eree International dan membuat bayaran berjumlah RM310,000 kepada syarikat tersebut melalui dua pembayaran pada 11 Oktober 2016 dan 11 Januari 2017.

Pihak plaintif bagaimanapun mendakwa, D’Haja yang dinamakan defendan telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan terma-terma asas perjanjian selain gagal memulangkan 3,215 botol minyak wangi yang dikatakan rosak, gagal menyediakan rekod transaksi jualan dan enggan membayar tuntutan kerugian itu.

Sehubungan itu, pihak plaintif antaranya menuntut jumlah RM345,305 berserta faedah pada kadar lima peratus dari tarikh pemfailan tuntutan sehingga pembayaran penuh dan ganti rugi am.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Shamsudin Abdullah bersambung esok.