Perkara itu ditentukan pada sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman hari ini.

Peguam Shahid Adli Kamarudin yang mewakili Anwar memberitahu, permohonan kebenaran merayu itu ditarik balik selepas anak guamnya memfailkan notis untuk tidak meneruskannya, Jumaat lalu.

Menurut Shahid Adli, Anwar berbuat demikian kerana beliau telah dibebaskan selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Pada 13 Jun tahun lalu, Anwar gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Julai 2016 yang menolak tuntutan samannya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lagi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nor Bee Ariffin menolak permohonan Anwar untuk mendapat perisytiharan bahawa beliau layak mengundi seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan dalam PRK dan pada mana-mana pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mahkamah Tinggi berpendapat, SPR tiada bidang kuasa untuk membenarkan permohonan seseorang banduan untuk menunaikan hak sebagai pengundi.

Oleh kerana Anwar (ketika itu) ditahan di penjara, beliau sepatutnya mengemukakan permohonan untuk mengundi kepada Ketua Pengarah Penjara Malaysia dan bukannya SPR.

Dalam saman pemulanya, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menamakan SPR, Pengerusi SPR ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dan kerajaan sebagai pihak defendan kerana tidak membenarkannya mengundi pada PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei 2015.

Anwar selaku plaintif, ketika itu sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat, mendakwa sudah mendaftar sebagai pengundi sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara berkenaan terhadapnya pada 10 Februari 2015. - UTUSAN ONLINE