Peguam J. Leela yang mewakili Anwar berkata, pihaknya memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut atas alasan Noraziah selaku pemohon tiada locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan tuntutan tersebut. 

Leela juga menyifatkan, isu yang dibangkitkan oleh pemohon tidak mampu diputuskan atau tidak boleh dicabar selain remeh, menyusahkan dan menyalahguna proses mahkamah.

Peguam itu berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Hakim Datuk Azizah Nawawi akan mendengar permohonan itu esok. 

Pada 28 September lalu, Noraziah, 38, memfailkan permohonan untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam perkara pengampunan Anwar adalah tidak menepati perlembagaan.


Pihak pemohon menamakan Anwar sebagai responden pertama dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan responden kedua.

Pemohon turut memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar adalah tidak membatalkan hilang kelayakannya untuk menjadi ahli Parlimen berikutan sabitan salah yang dimilikinya.

Selain itu, beliau memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah terbatal memandangkan Lembaga Pengampunan yang menasihati Baginda tidak ditubuhkan selaras dengan Artikel 42(5) Perlembagaan Persekutuan. 

Noraziah mengemukakan pemohonan itu dengan alasan Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan dengan kesalahan jenayah dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda tidak kurang RM2,000 adalah hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen.

Pemohon juga berkata, pada 16 Mei lalu, Anwar telah dilepaskan setelah menjalani hukuman penjara lima tahun berhubung sabitan jenayah kes liwat yang menjadikannya hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen namun atas nasihat responden kedua, Baginda telah memberikan pengampunan kepada Anwar. 

Dalam hal ini, pemohon mendakwa, Sultan Muhammad V hanya memberi pengampunan kepada Anwar namun Baginda tidak pernah membatalkan hilang kelayakan responden pertama itu seperti yang diperuntukkan oleh Artikel 48(1).

Selain itu, dakwanya, responden kedua telah ditubuhkan tanpa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikutan ketiadaan Menteri Wilayah dan Peguam Negara pada masa mesyuarat pengampunan dijalankan. - UTUSAN ONLINE