Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan bekas Ketua Pembangkang itu dan menetapkan kes disebut pada 21 November ini.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar memohon rayuan anak guamnya dibenarkan kerana ia tidak dibantah oleh Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob yang mewakili Kerajaan Malaysia dan MKN selaku responden-responden.

Pada 2 Ogos 2016 iaitu sehari selepas pelaksanaannya, Anwar memfailkan saman pemula selepas mendakwa pelaksanaan akta berkenaan adalah tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam saman itu, Anwar turut memohon deklarasi Seksyen 12 Akta Perlembagaan, Perkara 66 (4) dan Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah.

Beliau memohon membatalkan Perkara 66 (4A) sebagai usaha mengembalikan kuasa Seri Paduka memberi perkenan sebelum Rang Undang-undang (RUU) diluluskan di Parlimen.

Pada 14 Oktober 2016, Mahkamah Tinggi membatalkan saman berkenaan selepas membenarkan bantahan awal Kerajaan Malaysia dan MKN atas alasan mahkamah tiada bidang kuasa mendengar saman itu yang melibatkan kompetensi legislatif oleh Parlimen untuk menggubal undang-undang.

Selanjutnya pada 2 Januari lalu, Anwar memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan Perkara 66(4A) yang membenarkan RUU diluluskan sebagai undang-undang secara automatik jika tidak mendapat perkenan Seri Paduka dalam tempoh 30 hari.

Sehubungan itu, Anwar memohon meminda Perlembagaan bagi mengembalikan kuasa mandatori Seri Paduka memberi perkenan, sekali gus memansuhkan Akta MKN yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Disembar 2015.

Akta itu membolehkan pihak berkuasa menangkap, memindahkan secara paksa serta menggunakan kekerasan yang mereka perlukan, dan juga mengecualikan ahli majlis dan mereka yang beroperasi di bawahnya daripada liabiliti dan pendakwaan undang-undang.

Akta tersebut juga membolehkan sesuatu kawasan ditetapkan sebagai `kawasan keselamatan’ dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran. - UTUSAN ONLINE