Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik menjadi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebelum itu mencadangkan jaminan sebanyak RM2 juta terhadap Ahmad Zahid dan jumlah tersebut tidak dibantah oleh pihak pembelaan yang berpendapat jumlah itu adalah adil dan munasabah.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai barisan 12 anggota pasukan pembelaan memohon agar anak guamnya membayar jaminan berkenaan secara ansuran sebanyak RM1 juta pada hari ini dan baki dalam masa dua minggu atau sebelum November ini.

Bagaimanapun, Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya menerima aduan daripada para peguam yang mempersoalkan keputusan membenarkan tertuduh membayar wang jaminan secara ansuran.

“Mengapa perlu ada keistimewaan seperti itu? Sesungguhnya saya tiada jawapan untuk itu dan mengikut undang-undang, mereka perlu membayar jaminan pada hari sama dan tiada pengecualian termasuklah tertuduh hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Hisyam semua individu mempunyai hak yang sama seperti yang diperuntukkan mengikut Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan sekali gus memetik kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang dibenarkan membayar jaminan secara ansuran.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Azura Alwi membenarkan Ahmad Zahid dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta berserta seorang penjamin dan dibayar dua kali ansuran selain memerintahkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyerahkan pasportnya ke mahkamah.

“Bayaran jaminan secara ansuran ini bukanlah kali pertama di hadapan saya, sebelum ini pun sudah ada jadi tidak timbul persoalan mengenai layanan istimewa kepada tertuduh tertentu,” kata hakim itu sebelum prosiding berakhir.