Siti Norbaiyah Yahya, 42, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Azhar Hamzah.

Dia didakwa menipu seorang lelaki, Zainol Ahmad, 51, dengan memperdayakan mangsa supaya menyerahkan wang tunai berjumlah RM30,000 bagi tujuan pembinaan sebuah rumah di atas tapak tanah sendiri di Jalan Dato Ali di sini, kira-kira pukul 5 petang pada 23 Disember 2015.

Pendakwaan terhadap wanita itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd. Latif mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Nur Nisla menawarkan wang jaminan RM30,000 bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim meminta dikurangkan atas alasan tertuduh merupakan ibu tunggal dan terpaksa menanggung lima anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh yang berasal dari Johor diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 November ini untuk serahan dokumen.

Terdahulu tertuduh hadir di mahkamah pada pukul 8.45 pagi.

Sebelum ini, akhbar melaporkan tertuduh bersama-sama beberapa orang lelaki termasuk seorang artis ditahan awal bulan ini kerana kes penipuan jualan rumah di beberapa buah negeri, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE