Tertuduh berusia 30 tahun itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memasukkan jari ke dalam kemaluan kanak-kanak perempuan berumur empat tahun lima bulan itu di sebuah rumah  di Bandar Baru Putra di sini pada Disember tahun lalu.


Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat selain diletakkan di bawah pengawasan polis bagi satu tempoh tidak kurang setahun dan tidak melebihi tiga tahun.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman sementara tertuduh tidak mahu melantik sebarang peguam kerana yakin tidak bersalah.


Terdahulu, Naidatul Athirah memohon mahkamah supaya tiada sebarang jaminan dibenarkan kerana tertuduh merupakan bapa kandung dan tinggal serumah dengan mangsa dan ibu mangsa, justeru dikhuathiri berlaku kacau ganggu terhadap saksi pendakwaan.


Tertuduh yang dibenarkan untuk memohon rayuan, meminta supaya jaminan terhadapnya dikurangkan.


Mahkamah bagaimanapun bersetuju dengan pihak pendakwaan supaya tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana mangsa merupakan anak kandungnya sendiri selain dibimbangi berlakunya kacau ganggu.


Selain itu, mahkamah turut menasihatkan tertuduh supaya mendapatkan khidmat peguam kerana tuduhan ke atasnya merupakan suatu yang serius dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.


Kes ditetapkan pada 25 Februari ini untuk sebutan semula. - UTUSAN ONLINE