Tertuduh, Mohd. Shariff Ahmad, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang tunai RM10,000 daripada Muhammad Audi Musa bagi membantu menutup kes ganja yang sedang disiasat Bahagian Narkotik IPD Kulai.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga pegawai badan awam iaitu koperal polis di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai didakwa telah secara rasuah bersetuju untuk menerima suatu suapan bernilai RM3,000 daripada Muhammad Audi bagi menutup kes sama.

Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai sebanyak RM3,000 daripada individu sama sebagai dorongan bagi suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal untuk menutup kes sama.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dilakukan tertuduh masing-masing pada 4, dan 6 dan 31 Disember 2017 di hadapan bengkel RMB Workshop No. 476, Jalan Gangsa 7, Taman Gemilang dekat Kulai. - UTUSAN ONLINE