Husni Husin, 38, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, anggota AADK Daerah Melaka Tengah itu didakwa memberi diri sendiri Methamphetamine di Balai Polis Bukit Baru dan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah di sini antara pukul 1.35 petang, 17 Oktober 2014 hingga 1.52 pagi, 10 Oktober 2016.

Pegawai Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria mengemukakan ketiga-tiga pertuduhan itu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya serta perintah pengawasan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, Husni yang tidak diwakili peguam dihukum denda sebanyak RM1,500 manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh dikenakan denda RM2,000 setiap pertuduhan. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Sementara itu di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas satu lagi tuduhan memiliki dadah jenis sama seberat 0.16 gram di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu didakwa dilakukan penjawat awam tersebut di Bukit Pulau, Bukit baru di sini pada pukul 6.20 petang, 26 Februari lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan 3 April depan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE