Hakim Azrul Darus membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Soong Chee Wei, 33, di akhir kes pendakwaan.

Semasa prosiding, Chee Wei diberi pilihan sama ada berdiam diri, memberi keterangan tanpa sumpah dalam kandang tertuduh atau memberi keterangan bersumpah dalam kandang saksi untuk pembelaannya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memilih memberi keterangan tanpa sumpah dalam kandang dan pada masa sama turut memohon seorang doktor psikiatrik dipanggil memberi keterangan. Ini kerana semasa kejadian tertuduh mendakwa dia tidak waras. 

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 24 Mei ini, sebutan kes termasuk mendengar keterangan doktor psikiatrik bagi pembelaan tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan penganggur itu didakwa telah dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap bapanya, Soong Food Kong, 64, dengan menggunakan tukul besi di sebuah rumah Jalan Indah 15, Taman Cheras Indah, Hulu Langat dekat sini kira-kira pukul 2 petang, 25 November 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE