Peguam Latheefa Koya yang mewakilinya memaklumkan, surat kelulusan daripada KDN bagi mendaftar remaja itu sebagai warganegara mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, diterima oleh firma guamannya hari ini.

Remaja lelaki tersebut menuntut hak berperlembagaan daripada mahkamah tertinggi negara agar mereka yang dilahirkan di negara ini, diberikan taraf warganegara.

Oleh kerana permohonannya telah diluluskan, panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum membatalkan rayuannya selepas remaja itu menarik balik rayuannya hari ini.

Dalam pada itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun yang beribukan seorang rakyat Papua New Guinea juga mendapat kewarganegaraan selepas Jabatan Peguam Negara menarik balik rayuannya.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 26 November depan bagi mendapat maklum balas berkaitan permohonan di bawah Perkara 15A melibatkan tiga lagi kes termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang merupakan anak luar nikah beribukan warganegara Thailand.

Hakim Malanjum bersidang bersama dua hakim tertinggi iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Enam lagi hakim ialah Tan Sri Azahar Mohamed, Tan Sri Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Rohana Yusof, Datuk Mohd. Zawawi Salleh serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Umi Kalthum Abd. Majid.

Ketika bersidang pada 30 Ogos lalu, mahkamah turut mengeluarkan perintah larangan terhadap pihak media daripada menyiarkan nama kanak-kanak dan remaja terlibat serta keluarga mereka. - UTUSAN ONLINE