DR. HAMIMAH IDRUSS hadir rayuannya terhadap hukuman penjara tiga tahun dan penalti RM6.39 juta atas sabitan salah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 namun ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini. - UTUSAN/RASHID MAHFOF

Bekas pengarah syarikat Safire Pharmaceuticals (M) Sdn. Bhd. (Safire) itu merupakan individu pertama didakwa di Mahkamah Sesyen dan disabitkan atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 sebelum Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut.

Peguam Sara Ann Chay Sue May yang mewakili Hamimah memaklumkan, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Siti Mariah Ahmad yang mendengar rayuannya ketika itu, tidak menyediakan alasan penghakiman sebelum bersara pada 1 Disember tahun lalu.

Sehubungan itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmadi Asnawi yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim menangguhkan rayuan akhir bagi membolehkan Mahkamah Tinggi menyediakan alasan penghakimannya.

Kuorum tersebut kemudian mengarahkan rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran. Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azmi Mashud bertindak bagi pihak pendakwaan.

Kes Hamimah, 69, pernah mendapat liputan meluas pihak media kerana dia merupakan individu pertama yang didakwa atas tuduhan di bawah AMLATFA. Dia didakwa pada 23 April 2004 dan kini dibebaskan dengan jaminan RM1 juta setelah mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu.

Pada 21 Mac 2012, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman itu selepas mendapatinya bersalah atas lapan tuduhan pengubahan wang haram dan 10 tuduhan bersubahat dengan bekas pekerjanya melakukan pemalsuan dokumen melibatkan berpuluh-puluh juta ringgit.

Di bawah Seksyen 4(1) AMLATFA 2001, Hamimah didakwa atas lapan pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.38 juta antara 3 dan 10 Jun 2003.

Wanita itu turut didakwa atas 10 pertuduhan bersubahat dengan bekas pekerjanya, Yusaini Wan Abi Sabian, 49, dengan memalsukan surat perjanjian Safire yang setiap satunya bernilai AS$1.2 juta (RM4.56 juta).

Bagi pertuduhan itu, dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 468 kanun sama.

Dia dijatuhi hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan di bawah AMLATFA dan penalti RM6,394,530.72 iaitu mengikut jumlah wang yang telah dilupuskan. Gagal bayar denda, Hamimah boleh dihukum penjara setahun lagi.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan bersubahat memalsukan surat perjanjian. Kesemua hukuman diperintah berjalan serentak menyebabkan tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama tiga tahun sahaja. - UTUSAN ONLINE