Mikhael Iskhandaar, 39, didakwa dengan sengaja menghalang Penolong Pegawai Pemerintah Ops Parlimen, Superintenden Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa daripada menjalankan tugasnya di hadapan pintu pagar masuk bangunan Parlimen, Sentul, di sini kira-kira pukul 10 pagi, 5 April lalu.

Mohamed Rafiq juga merupakan Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul.

Tertuduh yang merupakan Penyelaras Komunikasi Selangor (Pikom) didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim Abd. Halim tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Peguam, G. Sivamalar yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan tidak akan melarikan diri.

“Beliau juga merupakan seorang aktivis sosial yang banyak membantu rakyat. Oleh itu, saya memohon satu jaminan yang rendah dikenakan,” katanya.

Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman kemudian membenarkan Mikhael diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan sementara menunggu sebutan kes pada 21 Mei ini.