Hukuman itu yang dijalankan di bilik mahkamah Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini, hari ini adalah yang pertama kali berlaku di negara ini membabitkan kesalahan seumpamanya dan disaksikan oleh lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie.

Namun apabila hukuman telah dijalankan, barulah mereka yang hadir sedar bahawa benarlah kata-kata Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail ketika di awal prosiding bahawa hukuman itu adalah berbentuk pengajaran dan bukannya untuk mencederakan.

Orang ramai menunggu masa untuk masuk ke mahkamah
ORANG ramai berada di luar mahkamah bagi mengikuti kes hukuman sebat terhadap pasangan lesbian berusia 22 dan 32 tahun atas pertuduhan melakukan hubungan sejenis di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN ONLINE

Tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku, malah ketika rotan hinggap di tubuh badan tertuduh, tiada jeritan kedengaran kerana pegawai penjara itu masih perlu mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu menggunakan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala tertuduh.

Tertuduh pertama berusia 32 tahun itu dilihat mengalirkan air mata selepas hukuman rotan enam kali itu selesai tetapi tertuduh kedua (22 tahun) sebak seketika apabila menerima sebatan ketiga dan terpaksa dihentikan seketika sebelum menyambung tiga sebatan seterusnya.

Dua wanita itu dihukum sebat enam kali hari ini kerana cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, 1.50 tengah hari pada 8 April lalu.

Selain itu kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan ke atas hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat.

Pasangan lesbian disebat
PASANGAN lesbian berusia 22 dan 32 tahun berjalan keluar dari dewan bicara selepas menjalani Hukuman sebatan di khalayak umum atas pertuduhan melakukan hubungan sejenis di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini. Hukuman tersebut berjalan lancar dengan disaksikan kira-kira 100 orang. - UTUSAN ONLINE/FARID JANUDIN

Beberapa pihak turut terlibat dalam pelaksanaan hukuman itu, iaitu pegawai perubatan, pegawai penjara dan juga kakitangan mahkamah.

Selepas Hakim Syarie memberi kebenaran pelaksanaan hukuman, pegawai penjara memanggil nama tertuduh dan kemudiannya tertuduh dibawa ke hadapan pegawai penjara untuk mengesahkan identiti mereka seperti dalam rekod.

Pegawai penjara juga bertanya kepada kedua-dua tertuduh, yang berbaju kurung dan bertudung putih, sama ada mereka ingin mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.

Selepas pegawai perubatan mengesahkan tahap kesihatan tertuduh dan tertuduh bersedia menerima hukuman sebat, tertuduh dibawa ke satu sudut bilik mahkamah dengan duduk di atas kerusi membelakangi mereka yang berada di galeri awam.

Muka tertuduh dipusing ke bahagian kanan manakala pegawai penjara yang melaksanakan hukuman berdiri di sebelah kiri.

Hukuman rotan bagi kedua-dua tertuduh bermula 10.10 pagi dan secara berturut-turut dalam tempoh tidak sampai 3 minit setiap seorang. - BERNAMA