Yusoff Shariff mencium ibunya, Maisarah Silong selepas dibebaskan daripada pertuduhan mencuri sumbu badak milik Muzium Diraja Johor Oktober lalu di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, semalam.

Lebih meruntun hati orang ramai termasuk petugas media yang membuat liputan kes berkenaan apabila Yusoff yang juga bekas Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ne­geri turut mencium dan memeluk ibu serta isteri, Nafisah Abd. Hadi, 43, dan enam anak mereka yang berusia dari tiga hingga 17 tahun.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Sabariah Atan melepas dan membebaskan tertuduh yang kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Ex-Situ di Ibu Pejabat Perhilitan di Cheras sejak 4 Januari lalu selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadapnya.

Terdahulu, Ketua Unit Pendakwaan Johor, Saiful Edris Zainuddin memberitahu, pihaknya mendapat arahan untuk menarik balik kes berkenaan.

Justeru, Datuk Hanif Hassan yang mewakili Yusoff kemudian memohon mahkamah membatalkan dan melepas serta membebaskan anak guamnya.

Sabariah yang kemudian meluluskan pembatalan kes itu turut mengarahkan wang jaminan RM5,000 dikembalikan kepada tertuduh.

Pada 28 Disember tahun lalu, Yusoff mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan mencuri sumbu badak di bahagian hadapan Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini kira-kira pukul 2.30 petang, 19 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada 31 Mac lalu, pihak pem­belaan mengemukakan representasi bagi membatalkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Sementara itu, Yusoff ketika ditemui di luar mahkamah bersyukur atas keputusan tersebut dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai salah faham.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua ahli keluarga, peguam, sahabat handai dan rakan sekerja yang mendoakan sehingga kebenaran akhirnya muncul.

“Apa yang berlaku adalah salah faham...saya cuma menjalankan kerja dan berlaku salah faham,” katanya.