Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Karim Rahman membuat keputusan itu selepas berpuas hati sabitan itu yang diputuskan Hakim Yasmin Abdul Razak pada 9 Mac tahun lepas adalah selamat.

Mahkamah bagaimanapun menolak rayuan silang pihak pendakwaan untuk menaikkan hukuman denda RM3,000 yang dikenakan terhadap Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 54, sebaliknya mengurangkan jumlah denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pada 9 Mac tahun lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengenakan denda RM3,000 atau tiga bulan penjara terhadap Tian Chua selepas didapati bersalah menyebut perkataan mengaibkan kepada pegawai polis Petaling Jaya,  DSP Glenn A. Sinappah bagi mengaibkan kehormatannya.

Tian Chua didakwa melakukan kesalahan itu di pintu utama lobi Hotel Armada, Petaling Jaya, pada 7.45 malam 14 April 2014 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Anggota Parlimen Batu itu diwakili peguam N.Surendran dan Eric Paulsen sementara Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Mohd Nor hadir bagi pihak responden.-BERNAMA